Monday, September 13, 2010

Perjuangan belum selesai -mengisi kemerdekaan lebih susah dari menuntutnya....berjayakah kita???? Selamat Hari Kebangsaan ke-53.


Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat hati

Dari melihat bangsaku dijajah

Tidak ada yang lebih menyedihkan

Dari membiarkan bangsaku dihina

Air mata tiada ertinya

Sejarah silam tiada maknanya

Sekiranya bangsa tercinta terpinggir

Dipersenda dan dilupakan

Bukan kecil langkah wira bangsa

Para pejuang kemerdekaan

Bagi menegakkan kemuliaan

Dan darjat bangsa

Selangkah bererti mara

Mengharung sejuta dugaan

Biarkan bertatih

Asalkan langkah itu yakin dan cermat B

agi memastikan negara

Merdeka dan bangsa terpelihara

Aiir mata sengsara

Mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita

Tugas kita bukan kecil

Kerana mengisi kemerdekaan

Rupanya lebih sukar dari bermandi

Keringat dan darah menuntutnya

Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan

Kalau bangsaku asyik mengia

Dan menidakkan

,Mengangguk dan membenarkan,

Kerana sekalipun bangganya negara

Kerana makmur dan mewahnya

Bangsaku masih melata

Dan meminta-minta di negaranya sendiri

Bukan kecil tugas kita

Meneruskan perjuangan kemerdekaan kita

Kerana rupanya selain memerdekakan,

Mengisi kemerdekaan jauh lebih sengsara

Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya

Bukankah sejak zaman berzaman

Mereka menjadi pelaut, pengembara

Malah penakluk terkemuka?

Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap

Menjadi pedagang dan peniaga

Selain menjadi ulama dan ilmuwan terbilang?

Bukankah bangsaku pernah mengharung

Samudera menjajah dunia yang tak dikenal

Bukankah mereka pernah menjadiwira serantau

Yang tidak mengenal erti takut dan kematian?

Tugas kita belum selesai rupanya

Bagi memartabat dan memuliakan bangsa

Kerana hanya bangsa yang berjaya

Akan sentiasa dihormati

Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita

Bukan sekadar memerdeka dan mengisinya

Tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan

Buat selama-lamanya

Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku

Kerana masa depan belum menjanjikan syurga

Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa

Perjuangan kita belum selesai

Kerana hanya yang cekal dan tabah

Dapat membina mercu tanda

Bangsanya yang berjaya.

- Tun Dr. Mahathir Mohamad (Malam Puisi Utusan, 4 Mei 1996)


· · Share

No comments:

Post a Comment